Terserah kepada polis untuk siasat jutaan ringgit dikaitkan Najib – Zahid Hamidi

*Video sekadar hiasan semata mata, Sila baca artikel penuh dibawah – (Sumber:Freemalaysiatoday)

Pemangku presiden Umno itu berkata persoalan sama ada Umno akan tuntut wang tersebut tidak timbul.

Zahid berkata beliau sudah memutuskan untuk terus memberikan peruntukan bulanan kepada semua cawangan Umno bagi membantu aktiviti operasi.

KOTA KINABALU: Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, terserah kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas wang jutaan ringgit yang dirampas dari premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Persoalan sama ada kami akan tuntut wang itu… saya rasa langsung tidak timbul,” katanya selepas menghadiri smabutan Hari Raya bersama delegasi Umno Sabah hari ini.

Beliau enggan menjawab soalan lanjut berhubung hal itu.

Unit Komunikasi Strategi Umno sebelum ini mendakwa RM116.7 juta dalam 26 mata wang yang dirampas oleh polis ialah wang parti dan diperlukan bagi membina semula parti selepas kekalahannya pada pilihan raya umum 9 Mei.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada 24 Mei, parti itu berkata pihaknya mahu polis mengembalikan baki dana politik itu selepas selesai siasatan.

Unit itu berkata, perlembagaan parti itu membenarkan presiden parti mendapatkan dana, termasuk bagi kegunaan pilihan raya umum.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh mengesahkan hari ini, RM116.7 juta dalam bentuk wang tunai ditemui dalam 35 beg yang diambil dari premis-premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri bulan lepas.

Katanya, polis turut merampas 12,000 jenis barang kemas dalam 25 beg yang semuanya berjumlah RM440 juta, termasuk 1,400 utas rantai, 2,200 cincin, 2,100 gelang, 1,600 kerongsang, 2,800 pasang subang dan 14 tiara.

Beliau berkata, penyumbang semua barang rampasan itu sedang dikenal pasti dan akan dipanggil, serta polis sudah mengambil keterangan 30 individu sehingga kini bagi membantu siasatan kes 1MDB.

Sementara itu, Zahid berkata beliau sudah memutuskan akan terus memberikan peruntukanbulanan kepada semua cawangan Umno bagi membantu aktiviti operasi.

Katanya, beliau membuat keputusan itu walaupun sebelum ini terdapat arahan daripada setiausaha agung parti itu untuk berhenti menyalurkan dana itu.

“Bulan lepas, setiausaha agung ada mengeluarkan arahan bagi menghentikan peruntukan bulanan kerana kami mahu cawangan melaksanakan aktiviti menggunakan dana sendiri.

“Bagaimanapun, kemampuan kewangan parti itu jelas tidak cukup kukuh di peringkat cawangan dan sayap.

“Maka, ibu pejabat sudah memutuskan untuk bertanggungjawab dan terus menanggung kos operasi, termasuk dana bagi membayar gaji dan melaksanakan aktiviti seperti sebelum pilihan raya umum.”

Zahid menafikan keputusannya dikaitkan dengan pencalonannya sebagai presiden parti.

Beliau menegaskan, ia hanyalah kesinambungan kepada amalan biasa parti itu seperti semasa di bawah pentadbiran Najib.

Sebagai pemangku presiden, Zahid berkata, beliau mahu mengambil langkah itu walaupun terdapat arahan daripada setiausaha agung.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*