Ini suara Anwar atau hanya menyerupai Anwar?

Suara dalam klip audio ini menyerupai ketua umum PKR, tetapi pemimpin PKR menafikannya dan menyifatkan ia palsu.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak asing dengan kaitan kepada rakaman dan klip audio yang tersebar di media sosial hari ini sekadar tambahan terbaru kepada kerjaya politiknya yang menarik.

Dalam rakaman audio itu, suara menyerupai ketua umum PKR itu mengecam anak didiknya, Datuk Seri Azmin Ali dan juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Seperti kucing yang mempunyai 9 nyawa, bekas timbalan perdana menteri itu terselamat daripada pelbagai serangan, termasuk yang paling digeruni ahli politik sejak terciptanya perakam pita.

Kini, klip audio ini mengancam untuk memperlahankan laluannya ke Putrajaya sebagai perdana menteri ke-8, perjalanan yang beliau mulakan pada 1998 sebelum diganggu pemecatan dramatik daripada Kabinet.

Pemimpin Pakatan Harapan menafikan klip audio itu sebagai palsu.

Tidak kira palsu atau sebaliknya, masa kemunculan rakaman itu nampaknya dirancang dengan teliti. Pemilihan PKR akan diadakan tidak lama lagi selepas kemenangan pertama dalam pilihan raya umum ke-14 lalu, di mana Anwar tiada pilihan kecuali memastikan beliau mendapat sokongan padu sebagai presiden parti.

Klip itu muncul ketika Azmin dilihat sebagai anak emas Dr Mahathir. Dalam 4 tahun ini, perjalanan kerjaya politik timbalan presiden PKR itu kelihatan lancar.

Selepas pelantikan mengejut sebagai menteri besar Selangor, beliau kini mara ke Putrajaya dengan menjadi menteri hal ehwal ekonomi.

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan beliau dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional Berhad.

Kali terakhir sebuah rakaman mengejutkan arena politik negara ialah 2007, di mana rakmaan 8 minit menunjukkan peguam, VK Lingam dalam satu perbualan telefon dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, untuk menetapkan pelantikan hakim kanan.

Klip video itu didedahkan Anwar dan Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan, dengan antara saksi yang dipanggil ialah seorang penganalisis forensik digital yang mengesahkan rakaman itu asli dan wujud sentimen awam.

Tetapi, Lingam dalam keterangannya mempersoalkan kesahihan rakaman itu, walaupun beliau bersetuju lelaki dalam klip terbabit “kelihatan dan kedengaran seperti saya”.

Kali ini, kami biar anda jadi hakim. Adakah suara dalam klip video ini milik Anwar?

SUMBER: fmt

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*