Menjelang Kiamat, Al Quran akan diangkat. Naskhah Al Quran di Perak ini sudah KOSONG tanpa Surah

PARIT BUNTAR – Seorang naib kadi Pejabat Agama Islam Parit Buntar tidak menyangka dua muka surat ayat suci al-Quran milik Masjid Hijau, Kampung Kedah di sini, lenyap sewaktu hendak membacanya pagi tadi.

Mohamad Khori Junus berkata, lebih kurang jam 11.05 pagi, dia menunaikan solat sunat di masjid berkenaan dan berhajat membacakan Surah Al-Waqi’ah sementara menunggu kehadiran pasangan pengantin untuk dijalankan upacara akad nikah.

Menurutnya, dia segera mengambil salah satu naskhah al-Quran yang diletakkan di bahagian mimbar masjid dan terkejut mendapati sebahagian besar ayat Surah Ar-Rahman dan permulaan ayat Surah Al-Waqi’ah yang ingin dibaca ‘hilang’ ketika membukanya.

“Saya sangat terkejut dan memaklumkan perkara itu kepada imam masjid yang kebetulan turut berada di situ bagi menjadi saksi nikah.

“Beliau (imam masjid) memaklumkan tidak pernah mengetahui terdapat sebarang naskhah al-Quran tidak sempurna disimpan pihak masjid dan meminta saya memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk),” katanya kepada media di sini hari ini.

Mohamad Khori berkata, hasil pemeriksaannya mendapati sebahagian ayat dari Surah Ar-Rahman yang hilang bermula ayat 41 hingga ayat 78, manakala ayat dari Surah Al-Waqi’ah pula bermula ayat pertama sehingga ayat 16.

Menurutnya, pada mulanya dia menganggap mungkin berlaku kesilapan pencetakan pada naskhah al-Quran Resam Uthmani yang merupakan cetakan keempat pada sembilan tahun lalu.

“Namun, apabila memikirkan proses pencetakan al-Quran perlu melalui prosedur amat ketat oleh panel pemeriksaan dilantik Jabatan Kemajuan islam Malaysia (Jakim), saya memutuskan penemuan ayat al-Quran hilang mungkin merupakan satu peringatan kepada umat Islam,” katanya.

Lebih mengejutkan, Mohamad Khori mendedahkan intipati sebahagian ayat al-Quran hilang terutama ayat permulaan Surah Al-Waqi’ah menceritakan tentang kejadian-kejadian besar pada hari kiamat.

“Dewasa kini, amalan membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini dilihat semakin berkurangan terutama dalam kalangan golongan muda.

“Saya berharap penemuan ini tidak disalah tafsir, sebaliknya dijadikan iktibar dan pedoman buat diri saya dan seluruh umat Islam untuk kembali taat kepada perintah Allah SWT dan Rasulnya,” katanya.

Mohamad Khori turut mendedahkan pengalaman ini pertama kali dialaminya dan berharap perkongsian pengalaman itu dapat mengingatkan umat Islam supaya kembali mengimarahkan bacaan al-Quran setiap masa.

Tanda kiamat semakin lengkap

Gegaran misteri berlaku di seluruh dunia pada 11 November lalu. Apa yang lebih pelik, tiada sesiapa merasainya

LEBIH 1,400 tahun lalu, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dengan bersabda: “Jarak antara diutuskan aku dan kiamat adalah seperti dua ini,” sambil menunjuk dua jari dan membentangkannya. – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Mengaitkan sabda Rasulullah tersebut dengan situasi semasa, pendakwah antarabangsa, Bilal Assad berkata, hampir kesemua tanda-tanda kecil sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis lain berhubung peristiwa kiamat telah hampir sempurna berlaku.

Malangnya, beliau berkata, ramai manusia termasuk umat Islam masih tidak menyedari peringatan tersebut, sebaliknya terus menerus melakukan pelbagai dosa, malah mewujudkan kembali maksiat umat terdahulu yang pernah diazab Allah.

“Secara umum, apa yang dapat kita perhatikan adalah berlaku ketidakseimbangan di seluruh dunia. Ketidakseimbangan itu termasuklah dalam masyarakat, moral, ideologi, metodologi dan juga alam sekitar seperti pemanasan global.

“Namun, yang jelasnya adalah ketidakseimbangan dalam aspek moral. Manusia dilihat semakin hilang perasaan malu, maksiat dan zina dilakukan secara terbuka, meminum arak kian berleluasa. Lebih teruk, manusia melakukan sesuatu perkara yang jauh daripada norma seperti berkahwin dengan anjing dan itu dianggap 
perkara biasa.

“Begitu juga dengan amalan homoseksual. Jika sebelum ini, dunia melihat hubungan songsang itu dengan pandangan negatif, namun apa yang berlaku kebelakangan ini, kamu yang akan dianggap gila jika menentang amalan tersebut kerana dikatakan mengganggu hak kebebasan,” katanya.

Inilah katanya, sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah mengenai antara tanda-tanda kiamat yang maksudnya: “Kiamat tidak akan terjadi sehingga orang bersetubuh seperti keldai di jalanan.” – Riwayat Ibnu Hibban

“Dunia dipenuhi maksiat, malah dilakukan secara terbuka tanpa rasa malu atau bersalah. Sehinggakan terdapat segelintir golongan yang percaya bahawa, memakai pakaian hanyalah untuk tujuan tertentu seperti kerana ingin mengelakkan sejuk, ketika sakit atau untuk kelihatan cantik dan bergaya.

“Ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang memerintahkan umatnya menutup aurat ketika berhadapan dengan bukan mahram. Jika ditegur, mereka berkata, ‘tuhan telah menciptakan kita telanjang, mengapa perlu berpakaian?” jelasnya.

IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’

Bilal berkata, antara tanda lain jelas berlaku masa kini adalah situasi seorang ibu melahirkan ‘tuan’nya 
sendiri.

“Ibu bapa dicari ketika diperlukan sahaja, contohnya, meminta wang dan menyelesaikan masalah mereka, selebihnya menghabiskan masa dengan rakan sebaya. Lebih kejam, 
ada pula yang sanggup menganiaya ibu bapa sendiri dengan memukul serta tergamak membunuh jika mereka tidak dapat memenuhi permintaan,” ujarnya.

Perkara ini tegasnya, sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Ketika Rasulullah ditanya oleh Malaikat Jibril tentang kiamat, maka baginda menjawab: “Yang ditanya tidaklah lebih mengetahui daripada si penanya.” Kemudian Jibril berkata lagi. “Kalau begitu khabarkanlah kepadaku tentang tanda-tandanya.” Rasulullah 
SAW menjawab: Seorang 
budak wanita atau wanita merdeka (al-Amah) akan melahirkan tuannya dan engkau akan melihat rakyat jelata yang miskin akan 
tinggal di gedung-gedung menjulang tinggi,” – Riwayat Muslim

AL-QURAN DIANGKAT

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, al-Quran yang merupakan kitab panduan umat Islam pula kini mula diangkat oleh Allah secara berperingkat-peringkat.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “…..al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam saja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini walaupun hanya satu ayat…” – Riwayat Ibnu Majah

“Diangkat atau hilang bukan bermaksud tidak lagi dicetak atau kabur daripada mashaf sedia ada, tetapi dimatikan para ulama. Oleh itu, tiada lagi penghayatan terhadap ayat-ayat al-Quran. Ia hanya dibaca tetapi tidak difahami dan diamalkan.

“Walaupun pada masa kini, ramai yang menghafal al-Quran…, ini bagus, tetapi tidak memadai jika tidak diamalkan dalam kehidupan harian. Memelihara al-Quran daripada diangkat bukan sekadar menghafal tetapi memahami dan mengamalkannya,” katanya.

Lebih membimbangkan tambahnya, lahir pula golongan anti hadis yang kononnya beramal agama dengan hanya berpandukan kitab utama al-Quran.

“Tidak mustahil satu hari nanti, golongan ini akan menolak al-Quran pula kerana mendapati banyak keterangan di dalamnya mengelirukan dan tiada panduan. Inilah peranan hadis iaitu untuk menjelaskan lebih terperinci mengenai perintah syariat 
yang dinyatakan di dalam al-Quran,” katanya.

sumber: sinarharian, utusan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*