Selepas Pantai Timur, Hujan Lebat Di Ipoh. Berlaku Kemusnahan Dan Bantuan Segera Sedang Disalurkan Kepada Mangsa




IPOH: Hujan lebat yang disertai angin kencang yang berlaku di beberapa kawasan di bandaraya Ipoh, pada Ahad petang, telah menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan harta benda.

Lebih 20 buah rumah di sekitar Gugusan Manjoi di sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dan hujan lebat yang berlaku petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, beberapa pokok tumbang selain bumbung rumah penduduk diterbangkan angin namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Ribut landa Gugusan Manjoi
KEADAAN bumbung sebuah rumah di Gugusan Manjoi yang diterbangkan angin kencang dalam kejadian ribut di Ipoh hari ini. – UTUSAN ONLINE

Antara kampung yang terlibat dalam kejadian itu ialah Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah Seberang dan Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2.

Seorang penduduk, Halimaton Mat Dalili, 57, berkata, ketika kejadian hujan lebat dan angin kencang, dia berada di rumah ibunya berusia 87 tahun yang terletak di hadapan rumahnya.

Katanya, dia berasa cemas apabila menyaksikan beberapa barang di dalam rumah ibunya itu melayang dan jatuh akibat ditiup angin kencang.

“Ketika itu kami berdua sahaja di dalam rumah dan saya sempat membuka tingkap menjerit pada suami agar jangan keluar dari rumah kami.

“Saya lihat barang di rumah emak ‘terbang’ dan atap rumah juga tercabut. Sekarang banyak peralatan rumah yang rosak dan kami sekeluarga mungkin menumpang di rumah saudara sebelum rumah siap dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui semasa meninjau kediaman mangsa berkata, terdapat beberapa rumah mengalami kerosakan teruk dan mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Surau Al-Husseiniah, Jalan Kolam dekat sini.

Katanya, bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat pada malam ini.

“Kita sedang mengumpul maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas. Saya menyeru kepada semua mangsa untuk membuat laporan polis untuk memudahkan proses bantuan susulan dilakukan.

“Sekarang ini pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang berusaha membersihkan pokok-pokok yang tumbang manakala TNB pula sedang membantu menyambung semula bekalan elektrik ke semua kediaman dan premis terlibat

Kejadian menyebabkan pintu kaca sebuah ruang pameran kereta di Jalan Kuala Kangsar dan restoran makanan segera di Silibin pecah.

Selain itu, tular di media sosial berlaku hujan air batu di sekitar Kampung Ahmad Said, Manjoi.

Hujan lebat dengan angin kencang turut menyebabkan beberapa batang pokok di Taman Pertama, Taman Rishah dan Taman Seri Tahan, Silibin sehingga menimpa beberapa buah rumah dan dua buah kenderaan milik penduduk

Pemilik kedua-dua kenderaan tersebut, Muhammad Iqbal Dinzly Muhammad Saipuddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang ketika beliau tiada di rumah.

“Apabila saya balik, didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap dua kereta dan awning rumah saya,” katanya kepada Astro Awani.

Muhammad Iqbal berkata, ekoran kerugian yang terpaksa ditanggung, beliau akan membuat tututan ganti rugi daripada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Saya juga berharap agar pihak MBI dapat membuat kerja-kerja penyelenggaraan dengan mencantas pokok-pokok yang terlalu besar kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” ujarnya.

Anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan kakitangan MBI bergegas ke tempat kejadian untuk memotong dan mengemas pokok-pokok yang tumbang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut turun padang melawat kawasan kejadian.

Sumber : Astro Awani, Utusan Online

Edited BY KLViral




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*