Iqram Dinzly Bergegas Pulang Ke Kampung Selepas Ribut Petir Di Ipoh Semalam. Ini Yang Berlaku Sebenarnya

PELAKON Iqram Dinzly bergegas pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak selepas mendapat perkhabaran kejadian ribut petir yang berlaku pada petang Ahad.

Iqram berkata, akibat kejadian itu, dua buah kereta masing-masing milik abang dan ibunya jenis Proton Gen 2 dan Proton Exora yang diletakkan di bahu jalan di hadapan rumah mereka remuk dihempap pokok yang tumbang.

Bagaimanapun kata Iqram, rumah mereka tidak mengalami kerosakan teruk, cuma sengkuap (atap tambahan) di luar rumah musnah akibat angin kuat.

“Sejurus saya dapat tahu mengenai kejadian itu saya bergegas pulang ke Ipoh untuk melihat keadaan, tambahan pula ibu saya trauma dengan kejadian itu.

“Mengikut ceritanya angin memang kuat sehinggakan pokok di hadapan rumah kami boleh tumbang menyembah bumi.

Iqram Dinzly bergegas pulang ke Ipoh, Perak dari Kuala Lumpur selepas mendapat perkhabaran mengenai bencana alam di kampung halamannya.

“Alhamdulillah rumah keluarga saya tidak mengalami kerosakan teruk cuma dua kereta milik abang dan ibu saya yang rosak dihempap pokok,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada kejadian sekitar 5 petang itu, lebih 20 rumah di Kampung Gugusan Manjoi dan Taman Keledang Raya di sini mengalami kerosakan teruk akibat ribut petir.

Bumbung beberapa rumah ranap dan perabot yang diletakkan di luar rumah juga diterbangkan angin.

Keadaan dua buah kenderaan masing-masing milik abang dan ibu Iqram yang dihempap pokok.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melawat rumah dan keluarga yang terjejas akibat ribut petir berkata, kerajaan kini akan memberi tumpuan untuk membantu mangsa-mangsa.

Dalam pada itu, Iqram memuji tindakan pantas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang segera turun padang membantu masyarakat setempat selain membersih dan mengalih beberapa pkok yang runtuh.

Reda dengan bencana alam itu, Iqram berkata, dia menganggap ia sebagai ujian kepada mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah masa saya sampai ke Ipoh, pokok yang menghempap kereta milik abang dan ibu sudah pun dialihkan selain menteri besar pun ada datang melawat tempat kejadian.

“Apa yang terjadi ini adalah dugaan buat kami sekeluarga dan masyarakat setempat yang mana ada hikmah di sebalik kejadian,” katanya.

Sumber: mstar online

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*