‘Membawang’ Tak Kena Tempat, Jurukimpal Didenda Rm2000.

TINDAKAN seorang jurukimpal memuat naik status jelik terhadap anggota bahagian siasatan dan penguatkuasaan trafik (BSPT) di Facebook, membawa padah apabila dijatuhi hukuman denda RM2,000 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Mohd Abdul Hakim Mohd Nor, 34, turut berdepan hukuman penjara satu bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan memecahkan keamanan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengaibkan dengan niat mendatangkan bangkitan marah terhadap anggota BSPT, Mohd Azri Kamarzaman, 31, dengan mengetahui ia boleh memecahkan keamanan awam di pejabat penguatkuasa cawangan BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, jam 6 petang pada 15 Julai 2018.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, anggota BSPT yang berada di pejabat penguatkuasa cawangan BSPT IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 8.30 malam pada 15 Julai 2018 melihat status dimuat naik tertuduh di Facebook mengenai Ops Topi Keledar yang dilaksanakan sebelum ini.

Tertuduh dikatakan mempersoalkan tindakan anggota yang melakukan operasi dengan mengatakan polis mencari duit.

 

SUMBER : MYMETRO

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*