Anda Penggemar Pizza? Info Menarik 10 Pizza Paling Mahal Di Dunia




Pizza adalah makanan yang berasal dari Itali dan menjadi antara hidangan paling popular di seluruh dunia.

Versi moden pizza dicipta di Selatan Itali yang terdiri daripada pai rata dihasilkan daripada doh yis dan ditaburi dengan ramuan seperti keju, daging, sayur-sayuran rempah ratus dan banyak lagi.

Kini anda boleh dapati pizza dengan pelbagai jenis kerak hasil daripada revolusi dan kreativiti manusia.

Walaupun ia dianggap sebagai makanan biasa di kebanyakan tempat, namun di Malaysia, pizza masih menjadi antara salah satu makanan yang mewah.

Ia biasanya dijual dengan harga yang agak mahal dan tak semua mampu menikmatinya. Dengan itu, iluminasi.com kongsikan dengan para pembaca 10 pizza paling mahal di dunia.

10. Kobe Beef Steak Pizza – RM276

Anda akan mendengar mengenai serpihan emas yang ditaburkan di atas beberapa pizza dalam senarai ini, tetapi pizza ini tidak semewah itu. Ia hanyalah pizza biasa jika dibandingkan namun jauh lebih hebat daripada pizza biasa di restoran Domino’s Pizza.

Dengan harga RM276, ia dianggap sangat mahal tetapi ia disebabkan oleh dihasilkan menggunakan daging Kobe. Dan ya, ia dijual di Dominoes Pizza Jepun sahaja.

Pizza ini dianggap sebagai pizza mewah dan seperti yang anda tahu, daging Kobe dihasilkan dengan lembu-lembu diberikan bir untuk diminum dan diberikan urutan badan untuk mencapai tahap “marble” tertentu membuatkan dagingnya menjadi berjus dan lembut berbanding daging lembu biasa.

9. The Magic Gold – RM452

Kita semua beranggapan bahawa pizza adalah makanan yang tidak sihat dan itu semua kerana doh, keju dan bahan-bahan menggemukkan yang lain digunakan dalam penghasilan pizza.

Tetapi pizza ini adalah lebih sihat berbanding pizza biasa. Ia dijual di sebuah restoran di Toronto, Kanada dan bukan sahaja ianya adalah bebas gluten, tetapi vegetarian juga boleh menikmatinya.

Semua bahan yang digunakan adalah organik dan untuk hiasan tambahan yang mahal, anda akan dihidangkan dengan daun emas di atas pizza anda yang mana boleh dimakan.

Pizza ini berharga RM452, yang ke-9 termahal di dunia.

8. Triple Mille-Feuille Pizza – RM586

Perbezaan unik yang dibawa oleh pizza ini, yang terdapat di Jepun, adalah lapisan kerak dan apa yang ada di antara lapisan tersebut.

Ia adalah pizza 3 tingkat di mana keju lazat boleh didapati di dalamnya. Memesan pizza dengan keju biasa tidak membuatkan anda perlu membayar RM586. Harga tersebut akan dikenakan apabila anda memesan pizza dengan semua ramuan yang ditawarkan.

Keburukan apabila anda memesan pizza dengan semua ramuan adalah ia menjadi sukar untuk dimakan namun ia mendapat sambutan hangat kerana merupakan menu yang sangat popular di Jepun.

7. Gordon Ramsay’s Pizza – RM1,050

Siapa tak kenal Gordon Ramsay, pakar masakan yang sangat berpengaruh dalam dunia kulinari untuk tempoh yang sangat lama.

Merupakan salah seorang chef paling popular di dunia, terdapat pizza yang diberikan bersempena namanya dan ia adalah pizza di restorannya iaitu Maze yang terletak di London.

Walaupun pizza ini pernah disenaraikan sebagai pizza paling mahal di dunia, namun kedudukan pizza ini telah jatuh beberapa anak tangga.

Apa yang membuatkan pizza ini sangat mahal adalah kerana truffle digunakan dalam penghasilannya. Ia kemudiannya disempurnakan dengan puree bawang Itali, pasta truffle putih, keju fontina, herba segar, buffalo mozzarella dan cendawan cep.

Ya ia kedengaran seperti terlalu banyak ramuan namun rasanya bergabung dengan begitu baik menghasilkan pizza dengan harga RM1,050.

6. The C6 – RM1,880

C6 hampir-hampir kedengaran seperti nama sebuah pesawat tempur, tetapi ia sebenarnya adalah nama bagi pizza mahal yang boleh didapati di restoran Stevetson Pizza di British Columbia, Kanada.

Pizza ini menggunakan udang kara sebagai ramuan utamanya. Ramuan lain yang anda dapati di atas pizza ini termasuklah ikan salmon yang diasap, udang harimau, kaviar Osetra Rusia dan ikan kod Alaska.

Bunyinya seperti hidangan makanan laut yang menyelerakan., Jika anda menggemari makanan laut di atas pizza anda, anda boleh mencuba pizza ini dengan bayaran sebanyak RM1,880.

5. Nino Bellissima Pizza -RM4,190

Ini adalah satu lagi pizza yang menggunakan khidmat udang karang sebagai watak utamanya.

Piza ini bukan sahaja indah dalam reka bentuk dan warna, tetapi ia menawarkan dua ekor udang karang ditambah pula dengan enam jenis kaviar untuk memuaskan deria rasa anda yang mahal.

Anda hanya boleh mendapatkan pizza ini di Restoran Gino, yang terletak di Upper East Side di Manhattan, New York. Ia bersaiz 12 inci dan dihasilkan dengan kerak nipis yang mana sangat sesuai memandangkan ia sarat dengan udang dan kaviar.

Menurut sumber, kos penghasilan pizza ini mencecah RM3,015 dan apabila anda membayar harga RM4,190, restoran ini hanya memperoleh keuntungan sebanyak RM1,175 bagi setiap pizza.

4. Pizza Royale 007 – RM17,600

Peminat perisik terkenal James Bond pasti akan menyukai pai Itali ini kerana beliau adalah inspirasi di sebalik penciptaan pizza ini.

Dibuat di sebuah restoran di Restoran Domenico Crolla di Glasgow, Scotland, ini adalah pizza 12 inci yang mempunyai beberapa perisa yang paling unik.

Penyediaan bahan-bahannya juga sangat unik seperti kaviar yang direndam dalam wain Dom Perignon dan ikan salmon Scottish yang diasap dan udang karang yang telah perap dalam alkohol cognag yang berusia 100 tahun.

Bahan-bahan lain yang digunakan termasuklah daging rusa medallion dan prosciutto. Untuk melengkapkan pizza ini, serpihan emas 24 karat ditaburkan di atas pizza.

Jika anda ingin merasai kenikmatan pizza menakjubkan ini, pastikan anda mampu untuk membayar sebanyak RM17,600 untuk sekeping pizza terlebih dahulu.

3. The Miss Verdun – RM17,800

Miss Verdun telah mencipta pizza hebat yang memberikan anda rasa pelbagai ramuan mewah. Bahan-bahan ini dengan uniknya digabungkan di atas kerak pizza.

Lebih menarik, anda bukan sahaja akan mendapat salah satu pizza paling luar biasa dalam hidup anda tetapi juga menerima ched peribadi yang akan menghasilkan pizza ini di rumah anda.

Dan jika anda suka dihiburkan dengan muzik semasa anda menikmati hidangan, anda boleh menikmati alunan muzik Orkestra Chamber, yang juga datang ke rumah anda untuk menghiburkan semasa anda menikmati pizza yang mahal.

Campuran unik udang karang, kaviar dan truffle putih adalah semua perisa yang anda akan alami dari Itali ini.

Untuk melengkapkan hidangan pizza ke-3 termahal di dunia, serpihan emas ditaburkan di atas keseluruhan pizza, menjadikan harganya mencecah RM17,800.

2. Favitta’s Pizza for Lovers – RM32,240

Di Henrietta, New York, sebuah restoran pizza yang dikenali sebagai Favitta’s Family Pizzeria yang tidak lagi beroperasi sejak 2008, telah mendapat satu idea pemasaran iaitu untuk menghasilkan pizza hari pasangan kekasih iaitu Hari Valentine.

Apa yang membuatkan pizza ini tersangat mahal adalah ia ditaburi dengan berlian. Namun, tidak banyak pesanan pizza ini diterima mungkin kerana harga yang tak masuk akal dan tidak relevan.

Jika anda ingin merasai pizza Hari Valentine ini, sediakan wang sebanyak RM32,240.

1. Louis XIII – RM50,200

Louis XIII adalah pizza paling mahal di dunia dan dicipta oleh Renato Viola. Pizza ini diciptakan untuk sekumpulan orang terpilih sahaja.

Ia dibuat untuk dua orang, dengan saiz hanya 20 cm, oleh doh yang mengambil 72 jam untuk naik dan membolehkan ia tersedia untuk tempoh yang lama sebelum dibakar.

Setelah adunan siap, ramuan-ramuan ini disediakan serta-merta dan disempurnakan di atas pizza. Bercakap tentang ramuan, apa yang anda akan dapati pada pizza ini adalah tersangat mahal.

Ia mengandungi tiga jenis kaviar iaitu Oscietra Royal Prestige, Kaspia Oscietra Royal Classic dari pantai Iran dan Kaspia Beluga.

Bersama-sama kaviar yang sangat jarang ditemui ini, anda juga akan menikmati udang karang yang dihantar dari Norway dan dilengkapi dengan 7 jenis keju berlainan.

Harga pizza yang hanya boleh didapati di Salerno, Itali ini mencecah RM50,200.

Sumber : HauteLiving, DailyMeal &Manoosh




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*