Dua Penyamun Berbaju Melayu Diburu Polis.

POLIS sedang mengesan dua penjenayah berbaju Melayu dan bersenjatakan parang yang menyamun sebuah kedai serbaneka di Seksyen 17, Shah Alam, semalam.

Kejadian itu menjadi tular di media sosial melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan yang berdurasi hampir seminit.

Image result for kes samun berbaju melayu

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada orang awam mengenai kes samun itu, kira-kira jam 2 petang.

“Siasatan awal mendapati terdapat dua pekerja berada di kaunter manakala beberapa pelanggan sedang beratur membuat bayaran ketika kejadian.

“Dua suspek iaitu lelaki masing-masing berbaju Melayu hijau dan biru serta bertopi keledar kemudian memasuki kedai itu dengan bersenjatakan parang .

“Mereka mengambil tiga karton rokok berjumlah RM510 dan wang tunai RM200 daripada laci kaunter itu lalu melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiada mangsa mengalami kecederaan dan suspek menaiki Yamaha 135 LC yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Kata Baharudin, siasatan masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Kita sudah mengenal pasti kedua-dua suspek dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ravind di talian 012-2633203 atau 03-55202222 untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

Sumber : MyMetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*