“Ayah Tak Tegur Mak Sejak Keluar Rumah Dulu..” – Gadis Ini Kongsi Kesedihan Ibu, Bercerai Selepas 29 Tahun Berkahwin.




PILU, begitulah gambaran hati seorang gadis tatkala menerima berita perceraian ibu bapanya sejurus tamat ujian akademik di sebuah institut pengajian di Melaka, minggu lalu.

Hanya mahu dikenali sebagai Aisyah, dia memuat naik paparan skrin perkhabaran duka berkenaan ke laman Twitter sehingga menjadi tular dan mengundang simpati netizen.

Bercerita kepada mStar Online, gadis berusia 20 tahun itu mengakui terkesan dengan perpisahan itu memandangkan ibu bapanya sudah bersama selama 29 tahun.

Mengimbas detik hitam pada Isnin lalu, Aishah berkata, dia menggigil dan terus berlari ke tandas untuk menangis sejurus membaca kiriman WhatsApp daripada kakaknya berhubung perceraian itu.

“Saya baru habis ujian masa tu, saya buka telefon dan tengok WhatsApp kakak. Terus saya berlari ke tandas dan menangis hampir 15 minit.

“Rasa menggigil macam tak boleh jalan. Lepas tu saya call kawan, saya menangis depan dia. Saya balik rehat, tidur sekejap dan sambung ke kelas seterusnya sampai petang.

“Saya memang tahu mak ayah pergi mahkamah, tapi tak jangka seawal ini (cerai). Tak ada anak yang harap benda tu akan berlaku,” ujarnya sewaktu dihubungi pada Ahad.

Paparan skrin perkongsian Aisyah yang tular di Twitter.

Menurut Aishah, ibu bapanya yang masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an sudah tidak tinggal bersama sebelum bulan Ramadan pada tahun lalu.

Malah, mereka juga tidak meraikan sambutan Aidilfitiri sebagai sebuah keluarga yang lengkap pada tahun 2018.

“Masalah mereka dah lama, sebelum puasa tahun lepas lagi ayah dah tak tinggal bersama ibu.

“Awal tahun ini saya dapat tahu yang ayah akan kahwin lain tak lama lagi. Rasanya pada bulan Jun nanti kot.

“Mak memang sedih, dia harap ayah tak akan ceraikan dia dan tak kisah kalau ayah kahwin lain.

“Saya pernah WhatsApp merayu suruh ayah balik. Bila tahu dia nak kahwin lain, saya rasa dah hilang harapan,” kongsi Aisyah lagi.

Tambah Aisyah, bapanya juga sudah tidak bertegur dengan ibunya sejak tahun lalu.

Menurut Aisyah, ibu bapanya sudah tidak tinggal sebumbung sejak tahun lalu. FOTO: http://cdn.expertise.com.

Namun, hubungan dia dan lima adik beradiknya dengan dengan bapa mereka masih lagi baik sehingga hari ini.

“Ayah tak tegur mak sejak keluar rumah dulu. Mak paling sedih. Dia cakap, kamu untung sebab masih boleh bercakap dengan ayah.

“Itulah yang buat saya lagi sedih. Walaupun ibu cuba sembunyikan kesedihan dia, pada saya dia yang menjadi kekuatan saya untuk menghadapi perkara ini.

“Saya selalu ingat yang dulu mak ayah suka bergurau kat rumah, ayah selalu buat sarapan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Tweet perkongsian Aisyah mengenai perkara itu menerima hampir 8,000 ulang kicau (Retweet) di Twitter.

Malah, dia turut menerima banyak kata-kata semangat daripada pelayar Twitter termasuklah perkongsian kisah yang hampir sama dengannya.

“Ramai yang direct message (DM) cakap masalah sama dengan saya. Malah ada yang lebih teruk.

“Cuma saya nak nasihat khususnya yang dekat kampung mak saya di Kuala Selangor. Tolong hormati perasaan mak saya.

“Kakak pergi beli makanan kat kedai pun mereka tanya isu ni. Saya harap mereka jaga perasaan kami. Hanya kami adik beradik dengan mak sahaja yang tahu perkara sebenar,” kata Aisyah lagi.

Sumber : Mstar




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*