‘Rm350 Temasuk Kain Lace Dan Upah Jahit.’ – Che Tam Berang Bakal Pengantin Minta Baju Kahwin Fasha Sandha Tapi Bajet Ciput.

SEMUA yang bakal bergelar Raja Sehari pastinya mahu menjadikan majlis perkahwinan mereka indah sebagai kenangan manis sepanjang hayat.

Semasa membuat persiapan, pengantin perempuan terutamanya mulalah berangan mahu pakai baju pengantin seperti yang dipakai oleh selebriti terkenal pada majlis perkahwinan mereka.

Seperti seorang bakal mempelai ini, busana pengantin pelakon Fasha Sandha yang berkahwin dengan aktor Aidil Aziz baru-baru ini menjadi idamannya.

“Nak upah baju macam ni. Boleh buat tak? Kain pun nak songket macam tu. Kita dah bajet dalam RM350 upah sekali kain dan lace tu. Tak dapat 100 peratus, dapat 90 peratus macam tu pun dah ok,” demikian mesej seorang pelanggan menerusi aplikasi WhatsApp kepada seorang tukang jahit, berserta gambar Fasha dalam persalinan baju pengantin songket rekaan pereka terkenal, Rizman Ruzaini.

Beberapa paparan skrin perbualan pelanggan dan tukang jahit mengenai baju kahwin berinspirasikan busana pengantin Fasha itu tular di media sosial.

Namun tukang jahit tersebut naik angin kerana menerima mesej daripada pelanggan berkenaan awal pagi, ditambah pula permintaannya yang luar biasa tidak sesuai dengan bajetnya.

“You WhatsApp I waktu ni, macam dah tak ada hari siang. Nak upah baju bajet artis, request pula kain macam tu, letak siap-siap harga! You bagi bajet RM350, you nak kualiti setanding baju yang nilai puluh-puluh ribu.

“You nak buat keja atau I yang nak buat kerja? Artis tu tempah baju harga puluh-puluh ribu… cannot brain arr.

“You ingat pengalaman dan kemahiran berpuluh-puluh tahun ni kutip percuma tepi jalan ka? You ingat pergi beli kain kemudian letak atas meja dalam ofis, dok esok chinggg siap baju tu!!!,” katanya.

Dia kemudian menegur pelanggan itu agar jangan sesuka hati meletakkan harga kerana semua proses membuat baju dilakukan oleh tukang jahit.

Malah katanya, harga kain baju pun tidak menyamai bajet yang dinyatakan pelanggan berkenaan, apatah lagi kos untuk membeli kain ‘lace’.

“Nak melaram acah diva, acah artis, tapi bajet ciput kedekut. Suka-suka hati you ja, pantang tok nenek aku dok main harga upah dengan aku.

“Aku nak buat kerja, hang lak yang suka suki letak harga. Hang ingat aku siapa? Aku Che Tam tau!,” katanya dengan sinis sambil menyebut nama kedainya berulang kali.

Dengan perasaan yang penuh rasa bersalah, pelanggan itu kemudian membalas mesej tukang jahit tersebut dengan mengakui kesilapannya.

“Ampun… saya minta maaf saya silap. Saya mimpi-mimpi pakai baju masa nikah. Saya terjaga terus PM (private message) Che Tam,” katanya.

Dia kemudian bertanya sama ada permintaannya untuk mempunyai baju kahwin berinspisikan busana pengantin Fasha Sandha dapat dipenuhi.

“InsyaAllah boleh… RM3,500. Tiga ribu lima ratus ringgit Malaysia. Take it or leave it,” katanya sebelum dibalas pelanggan itu harga tersebut di luar kemampuannya.

Tukang jahit itu kemudian menasihatkan agar berbelanja mengikut kemampuan kerana selain baju pengantin, banyak lagi perbelanjaan untuk majlis perkahwinan.

“Baju kurung moden polos, letak sikit blink (labuci) dan bubuh vel. Bajet kain dengan upah dalam RM300 atau RM350 pun elok dah. Yang afdah akad nikah tu,” katanya.

Rata-rata netizen mengkritik cara tukang jahit itu membalas mesej pelanggan berkenaan meskipun permintaannya mungkin tidak masuk akal dengan bajet yang diberikan.

“Orang tanya elok, kita jawab la elok-elok. Walaupun kita tahu permintaan tu tak logik dengan harga dan jenis tak sedar diri, tak perlu nak panjang berjela dengan kata-kata nak hina orang,” kata Nik Ahmad.

“Terangkan cara pengiraan kos kain, upah jahit dan lain-lain. Bukan payah pun, tak semua orang tahu melainkan yang dah tahu. Kalau dah terang masih tak fagam baru lah hentam, tak gitu?,” ujar Farhan Saidi Leya Dhia.

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*