Farid Kamil Beraya Dalam Penjara, Hukuman Penjara 9 Bulan Bermula Hari Ini

MAHKAMAH Majistret Petaling Jaya, Selangor memerintahkan pelakon Datuk Farid Kamil Zahari dihukum penjara sembilan bulan dan berada di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas didapati bersalah menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) pada Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dalam prosiding itu mahkamah juga tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman dan Farid akan dibawa ke Penjara Kajang dan diperintah menjalani hukuman penjara bermula tarikh sabitan iaitu hari ini (Rabu).

Sebelum itu, peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili Farid memohon mahkamah tidak mengenakan penjara dan hanya diperintah denda kerana tertuduh merupakan penanggung utama keluarga.

Ini kerana anak guamnya juga sudah mengaku bersalah atas satu pertuduhan iaitu memberi maklumat palsu yang melibatkan kes sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dengan mengambil kira pihak pendakwaan telah memanggil seramai lima orang saksi semasa perbicaraan.

“Mahkamah juga perlu menjatuhkan hukuman dengan mempertimbangkan faktor kepentingan awam selain mengambil kira kekerapan kes sedemikan berlaku. Jadi tidak perlu diskaun diberikan kepada tertuduh memandangkan tertuduh sebelum ini tidak membuat pengakuan bersalah.” katanya.

Mengikut pertuduhan, Farid didakwa menggunakan dadah berbahaya THC, iaitu ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pukul 4.30 petang pada 11 Januari 2018.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*