“Bulan Puasa Sebelum Ini, Kalau Balik Dia Suka Makan Macam-Macam.” – Ramadan Pertama Tanpa Adib, Ibu Bapa Paling Terkesan.

Bagaikan tak terasa, sudah 5 bulan Muhammad Adib Mohd Kassim, 25, pergi meninggalkan kita. Mangsa yang meninggal dunia akibat kecederaan semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Seafield dekat Subang Jaya itu sangat dirindu keluarganya.

Menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018, Ramadan kali ini merupakan Ramadan pertama keluarganya tanpa Adib di sisi menemani.

Siapa sangka tanggal 27 November adalah hari terakhir dia menunaikan tugasnya sebagai anggota bomba sebelum berjuang untuk hidup akibat kecederaan sehingga menghembus nafas terakhir pada 17 Disember 2018.

Bagi bapa anggota bomba itu, Mohd Kassim Ab Rahim masih mengakui pemergian Adib itu sesuatu yang mengejutkan dan tidak mudah diterima.

Namun sebagai manusia, warga emas berusia 64 tahun ini percaya segalanya telah tertulis dan perlu reda.

Mohd Kassim dilihat sebagai seorang bapa yang tabah, cuba menyembunyikan kesedihannya itu di sebalik ketenangan raut wajahnya.

Namun jauh di sudut hatinya, Mohd Kassim mengakui masih terasa sunyi selepas kehilangan Adib yang merupakan anak ketiga daripada lima orang adik beradik.

Tahun ini juga pertama kali Ramadan disambut tanpa kelibat Adib yang sebelum ini akan pulang sesekali berbuka puasa bersama keluarga.

“Masih rasa sunyi. Tetapi kena redalah.

“Banyak perkara seperti rasa lain. Bulan puasa sebelum ini, kalau balik dia suka makan macam-macam,” luahnya kepadaĀ mStar.

Hal sama dilalui ibu Allahyarham Adib, Asma Aziz, 52, yang masih belum bersedia untuk berkongsi mengenai kisah anaknya itu.

“Masih sedih,” katanya ringkas apabila diajukan soalan mengenai anak lelakinya itu.

Kematian Adib masih mendapat perhatian seluruh masyarakat lebih-lebih prosiding inkues menentukan penyebab kematiannya masih berlangsung.

Untuk rekod, Allahyarham Adib merancang untuk mendirikanĀ  mendirikan rumah tangga bersama tunangnya, Nurul Najihah Radzi pada 22 Disember lalu.

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*