“Kenapa You Sedih Uncle?” – Mula-Mula Tengok Uncle Tu Sedih, Tiba-Tiba Berdiri Bulu Roma.

Saya nak kongsi satu cerita. Tak tahulah nak rasa bagaimana tentang peristiwa ni. Bercampur baur perasaan. Kadang-kadang bila bersendirian, teringat-ingat.

“Sikijap ah, suami saya tulun sikijap lagi.”

Kursemangat! Terkejut aku dibuatnya. Tiba-tiba ada orang terpacul di tepi tingkap kereta aku belah penumpang hadapan.

Aku ni tengah tunggu di luar rumah penumpang aku, sambil lihat telefon bimbit. Hampir nak beredar dah lepas 10 minit aku tunggu tak nampak-nampak batang hidung si penumpang.

Sekarang ni Grab dah buat peraturan macam Uber. Kalau pemandu dah sampai di checkpoint, dan penumpang tak muncul dalam masa 5 minit, pemandu boleh batalkan trip. Nanti penumpang akan dikenakan denda RM5 sebab lambat atau tak muncul.

Nasib baik isteri dia, suruh tunggu. Jika tidak memang aku dah beredar. Kalau aku batalkan trip, denda RM5 yang dikenakan pada penumpang tu, akan masuk akaun aku. Jadi tak rugi pun kalau batal trip yang bayarannya tak seberapa ni.

Lepas suruh aku tunggu, wanita tadi berdiri di sisi kereta aku sambil melihat ke tingkat atas rumah mereka. Dia geleng kepala perlahan. Aku pun tengok apa yang dia sedang tengok.

Tap! Di tingkap, lampu yang aku rasa di bilik tidur di tingkat atas tertutup. Tak lama lepas tu, kelihatan seorang lelaki tua berkemeja petak-petak keluar dari rumah. Tergesa-gesa kunci rumah, dan kemudian bergegas ke kereta aku.

Ktak! Pintu belakang kereta dibuka, dan lelaki tu pun masuk ke dalam kereta.

“Soli! Lambat,” kata lelaki tu termengah-mengah.

Jika ikut tempahan Grab ni, mereka nak ke hospital. Tak tahulah kenapa nak ke hospital tengah malam macam ni. Mereka berdua ni tak nampak sakit pun.

Aku pun terus lepaskan handbrake dan meninggalkan rumah yang kini gelap gelita tu. Malam tu jalan agak lengang. Aku suka buat Grab malam, sebab boleh memandu dengan tenang. Rileks-rileks.

Setelah lebih kurang 5 minit perjalanan, tak ada seorang pun dalam kereta bersuara. Biasanya kalau begitu, maknanya penumpang tengah sibuk melayan telefon. Aku menjeling sedikit ke belakang untuk pastikan telahan aku tepat ke tidak.

Hmmm… tersasar jauh.

Si suami sedang merenung ke luar tingkap, sambil menopang dagu dengan kura tangan. Sikunya disangga di pemuka pintu. Cahaya lampu jalan silih berganti menerangi mukanya.

Aku lihat semula ke jalan raya di hadapan.

2 saat kemudian aku jeling cermin pandang belakang. Kelihatan si isteri duduk di tempat duduk tengah. Dia sedang menatap wajah suaminya. Matanya terkebil-kebil. Macam ada sesuatu yang terbuku ingin diluahkan pada suami.

Aku pandang semula ke hadapan.

Bergaduh ke mereka ni? Turun dari rumah pun asing-asing. Dalam kereta pun tak bersuara dua-duanya. Takkan dah tua-tua ni pun bergaduh sampai merajuk begitu sekali si suami tu.

Ke anak mereka sakit di hospital tu?

Rintik-rintik hujan mula turun. Eh, dah dahlah tu menyibuk hal peribadi orang. Lebih baik fokus pada pemanduan. Kalau kemalangan nanti, baik-baik naik Grab ke hospital, jadi naik ambulans pula karang. Niaya!

Sebaik sahaja aku cuba membuang syak wasangka aku tiba-tiba kedengaran bunyi sedu sedan di tempat duduk belakang. Seraya aku pun jeling ke dalam cermin pandang belakang.

Si isteri sedang memandang suaminya. Aku toleh pula ke sisi dan lihat di suami. Rupanya si suami yang menangis. Tangannya menutup muka. Sedu sedan dia semakin kuat.

Hujan semakin lebat. Aku kalih pandangan aku semula ke jalan raya.

Ketika tu aku hanya mampu berdiam diri dan berdoa pada Tuhan agar lelaki itu dikurniakan ketabahan untuk lalui cabaran yang dia sedang hadapi. Tak berani aku nak bertanya, bimbang tersilap tanya.

“Soli ah… “ lelaki tu berkata sesuatu, tapi tak dengar kerana bunyi derap hujan yang menimpa bumbung dan cermin kereta menenggelamkan suara lelaki tu.

“Sorry, uncle. You OK ke uncle?” kata aku lalu jeling ke belakang sesaat.

Lelaki tu kesat mata dengan lengan baju kemejanya. Aku lihat ke hadpaan semula. Di berdehem untuk perbetul semula peti suaranya, kemudian berkata sesuatu yang buat aku curiga.

“Saya sangat sedih,” kata dia.

“Kenapa you sedih, uncle?” soal aku.

Kemudian dia jawab sesuatu yang buat aku kebas.

“Bini saya sulah tak ada..”

“Tak ada?”

“Ya. Dia sulah mati…” jawab lelaki tu.

Anak mata saya automatik bergerak ke arah cermin pandang belakang.

Wanita dalam di tempat duduk belakang tu sedang merenung ke dalam mata aku. Perlahan-lahan dia angkat jari telunjuknya ke bibir, dan menggelengkan kepala, seolah-olah menyuruh aku agar tidak berkata apa.

Aku toleh ke belakang. Kali ni aku betul-betul toleh agar tak silap lihat. Di tempat penumpang belakang, kelihatan lelaki tu. Seorang diri.

Bulu roma aku terus berdiri. Laju-laju aku toleh ke depan semula. Jantung aku berdegup kencang. Tak berani aku nak lihat cermin pandang belakang lagi. Patutlah wanita tu tak masuk dalam kereta dulu Malah aku tak perasan pun dia masuk kereta. Tahu-tahu dah ada di dalam.

Apa yang berlaku ni? Aku macam tak percaya apa yang aku alami. Aku terus pemanduan, tapi fokus aku entah ke mana. Pendek cerita pandu macam autopilot.

“Saya sulah tak tau macam mana mau hidup satu orang.”

Bila aku dengar apa lelaki tu mengeluh, terus rasa seram tadi berganti kepada perasaan hiba. Aku tak pasti apa aku lihat ni benar-benar terjadi, atau hanya permainan minda aku, tapi mulut aku laju sahaja berkata:

“Jangan risau, uncle. Dia akan sentiasa ada dengan uncle selagi uncle ingat dia.”

Lelaki tu tak balas apa-apa.

Setelah tu kami pun tiba di foyer hospital. Lelaki tu hulur duit, aku tolak duit tu. Aku kata aku belanja. Dia angguk, kemudian keluar dari kereta dan selepas tutup pintu dia berlari anak ke arah lobi hospital kerana hujan masih turun.

Lelaki ke hospital malam-malam begini untuk nak pergi lihat isteri dia rupanya. Maaf, untuk lihat jasad mendiang isteri dia.

Aku terpaku sekejap dalam kereta. Aku geleng kepala, masih dalam keadaan tak percaya. Sebaik sahaja aku beredar dari perkarangan foyer hospital ada suara berbisik ke telinga kiri aku.

“Tlima kasi”

Aku lihat cermin pandang belakang. Tak nampak sesiapa, tapi aku tersenyum. Entahlah. Aku pun keliru, nak seram ke nak sebak.

Sumber : FB Kamarul Ariffin Nor Sadan

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*