Awas Jika Terbeli Kuih Raya Ada Kertas Merah Bergulung! Pelanggan Ini Dedah Sikap Peniaga Kuih Raya Penipu.

MACAM-macam cara dilakukan peniaga untuk melariskan jualan biskut raya sempena 1 Syawal ini termasuk berlumba-lumba membuat promosi untuk memastikan produk mereka menjadi antara yang terhangat di pasaran.

Jika dulu, biskut raya dijual mengikut bilangan biji dalam setiap balang, tetapi kini peniaga menggunakan taktik terbaharu iaitu ‘sampai penuh balang’ bagi memancing pelanggan.

Seperti kisah seorang pelanggan ini yang membeli biskut raya Red Velvet  tetapi dikejutkan apabila adanya ‘terowong’ di dalam balang berkenaan.

“Kok ada terowong dalamnya? Red Velvet penuh balang katanya. Ni lah sebab aku malas beli kat tempat tak biasa. Konon nak sokong (peniaga) sangat.

“Sebalang RM30. Patut namanya Terowong Red Velvet,” katanya di laman sosial Facebook, dengan memuat naik gambar biskut raya Red Velvet yang disusun cantik di dalam balang, tetapi di bahagian tengah di dalamnya terdapat kertas yang digulung berbentuk terowong.

Hanya mahu dikenali sebagai Kak Gie, dia memberitahu lapan balang biskut raya telah dibelinya ketika dia dan sepupunya berkunjung ke sebuah gedung membeli-belah di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) di ibu negara pada minggu pertama umat Islam berpuasa.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, dua daripada balang yang dibeli adalah biskut Red Velvet, dan peniaga menggunakan kaedah promosi ‘balang penuh’ di premis itu.

“Tanpa tunggu raya, saya buka dulu balang biskut Red Velvet sebab nak makan. Masa beli tu memang puas hati sebab nampak biskut penuh satu balang.

“Sebaik buka, saya terkejut sebab nampak ada kertas merah bergulung ‘cantik’ terletak di tengah balang, di kelilingnya disusun biskut raya. Adakah ini gaya baharu buat peniaga susun biskut raya dalam balang?,” katanya kepada mStar.

Kak Gie yang menetap di Damansara, Selangor berkata, dia sanggup mengeluarkan setiap biskut dari balang itu untuk dikira dan mendapati jumlah keseluruhan 30 biji.

“Balang punyalah tinggi dan besar, kalau diikutkan ada ruang kosong tempat ‘terowong’ tu yang boleh mengisi antara 10 hingga 20 biji.

“Tak kan sebiji biskut berharga RM1 kot. Nama saja biskut raya premium tapi saya boleh tahu mentega yang digunakan yang biasa-biasa saja,” katanya.

Pertama kali mengalami pengalaman ditipu, Kak Gie tidak menyangka peniaga terbabit tergamak memperdaya pelanggan demi mengaut keuntungan lebih.

“Ni sebab peniaga nak untung cepat, tu yang pergi letak kertas gulung macam terowong kat dalam tu. Pandai peniaga tu menipu, kertas gulung pun warna merah.

“Jadi, bila pelanggan tengok semua merah dari luar balang, sebab biskut Red Velvet warna merah. Padahal, bila buka ada kertas merah,” ujarnya dengan nada kesal.

Menurut Kak Gie, peniaga sepatutnya bersikap jujur selain memastikan hanya menjual produk berkualiti, sekali gus  membuatkan pelanggan berpuas hati dan datang kembali untuk berbelanja.

“Kalau tipu macam ni, memang tak datang dah. Kalau gigih datang pun, saya akan tanya berapa biji biskut sebenarnya dalam ‘balang penuh’ tu sampai ada ‘terowong’.

“Kadang-kadang, pelanggan tak kisah sangat kalau harganya mahal sedikit. Tapi, biarlah benda yang nak beli tu benar-benar berbaloi,” katanya.

Sumber : Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*