7 Sekeluarga Penat Beraya Sukar Tidur Di Hotel Misteri, Hajat Nak Berehat Tapi Dapat ‘Takut’. Ini Sebenarnya Yang Terjadi..




“INGATKAN Waze bawa kami salah jalan, rupanya itulah tempat penginapan kami untuk satu malam. Amat menyeramkan,” demikian kata seorang pemuda mengenai pengalamannya bermalam di sebuah hotel yang bukan sahaja dianggap ‘indah khabar dari rupa’, tetapi juga misteri.

Segalanya bermula selepas Farhan Rajuli, 25, bersama enam ahli keluarganya yang lain yang beraya di Bukit Merah, Perak, memutuskan untuk berehat di Taiping pada Sabtu, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Lumpur keesokan harinya.

Jelas Farhan dia mula membuat tempahan secara atas talian di sebuah laman web selepas ibunya memilih sebuah hotel di Taiping.

“Memandangkan penat berhari raya masih belum hilang, kami memutuskan untuk berehat satu malam sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

“Jadi ibu saya membuat pilihan mencari tempat penginapan untuk kami. Selepas melihat gambar beberapa hotel dan review hotel yang dipilih, saya terus membuat tempahan untuk satu malam.

“Semuanya nampak menarik. Lagipun harganya ‘affordable’,” kongsinya kepada mStar.

Menurut Farhan, mereka menggunakan aplikasi Waze untuk ke hotel itu.

“Sebaik sahaja tiba di kawasan hotel itu, saya seperti tidak percaya melihat keadaan persekitarannya.

“Kami ingat Waze salah tempat, tetapi rupa-rupanya betul. Jauh berbeza daripada gambar ketika membuat tempahan. Realiti yang menyeramkan,” katanya.

Farhan berkata sebelum masuk  ke kawasan hotel tersebut, dia ternampak pondok pengawal yang kosong dan kelihatan banyak daun kering di atas jalan.

“Kami tidak ada pilihan lain memandangkan sudah menempahnya, jadi terpaksa teruskan sahaja perancangan untuk menginap di situ.

“Keadaan lobinya kosong, hanya ada seorang lelaki yang menguruskan bilik-bilik yang ditempah… kesemuanya tiga bilik yang kami tempah,” ceritanya.

Bercerita lanjut, Farhan juga berasa hairan apabila diminta oleh lelaki berkenaan untuk memilih sendiri bilik yang dimahukan oleh keluarganya.

“Saya tengok dia pun ‘semacam’. Dengan seluar koyak seperti tidak terurus, di tangannya memegang sejambak kunci.

“Kami ikut dia ke bilik. Rupa-rupanya dia periksa satu-satu bilik yang masih kosong sama ada boleh guna atau tidak (ada elektrik dan air). Dia juga suruh pilih sendiri bilik yang mana yang kami nak,” katanya.

Sebaik sahaja selesai urusan pembahagian bilik, masing-masing mula berehat dan mahu tidur.

Namun menurut Farhan, bermulalah kisah yang menyeramkan sepanjang bermalam di situ.

“Walaupun di situ ada orang lain menyewa bilik, tetapi keadaan malamnya sangat sunyi dan sepi. Saya cuba untuk tidur, tetapi tak boleh. Malah abang ipar saya sendiri tak boleh lelap kerana risau dengan keselamatan kami semua.

“Mula-mula saya dengar bunyi seperti air menitik-nitik dan berhenti, dan kembali menitik secara berterusan. Selepas itu pula bunyi seperti orang sedang buka dan tutup pintu.

“Ingatkan saya je yang dengar, rupa-rupanya keluarga yang lain turut mengalami situasi sama. Jadi sepanjang malam tu kami tidur tak lena walaupun mata mengantuk dan kepenatan,” ujarnya.

Jelas Farhan, keesokan harinya mereka semua beredar seawal jam 7.30 pagi.

“Ketika mahu keluar, kami cuba menghubungi lelaki yang menguruskan bilik itu, namun dia hanya menyuruh kami letak kunci bilik di kotak di bahagian penyambut tetamu.

“Selepas itu kami bergerak meninggalkan hotel misteri seperti dalam sebuah filem seram itu,” ujarnya.

Pengalamannya tidak terhenti di situ sahaja! Sebaliknya Farhan bertindak membuat laporan kepada pihak yang menguruskan tempahan atas talian.

“Saya tidak galakkan orang lain singgah ke situ. Memang tidak sesuai untuk bermalam apatah lagi berehat. Ia bukan seperti yang kita lihat di laman web. Mungkin itu gambar lama dan mereka tidak mengemas kini status hotel itu.

“Saya juga ada membuat sedikit ‘research’ mengenai hotel yang dirasmikan pada tahun 2005 itu. Pengurusan telah bertukar tangan dan selepas itu tidak terurus,” ujarnya.

Farhan telah berkongsi pengalamanannya ini di laman Twitter dan mendapat lebih 3,000 ulang kicau (Retweet) serta pelbagai komen daripada netizen.

Sumber : Mstar




Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*